«

Feb 14

Kepentingan Probiotik Kepada Kesihatan Tubuh Badan

Apa itu PROBIOTIK?

Probiotik adalah istilah yang digunakan untuk menamakan ‘bakteria baik’ yang membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang yang ditemui dalam usus manusia. Probiotik adalah faktor penting kepada kesihatan yang baik.
Probiotik biasanya terdapat dalam dadih (yogurt) dan minuman kultur (yakult ,vitagen, nutrigen , solvite dan sebagainya). Terdapat kajian oleh para saintis yang merumuskan bahawa probiotik dan keseimbangan bakteria dalam usus adalah kunci kepada pelbagai jenis manfaat kesihatan yang luas.

Bukan semua bakteria adalah merbahaya atau menyebabkan penyakit. Dalam perubatan, jika seseorang mendapat jangkitan dari ‘bakteria jahat’ maka doktor akan memberikan ubat antibiotik. Peranan probiotik adalah terbalik daripada antibiotik. Ia sendiri adalah bakteria, tetapi ia memberikan faedah kesihatan kepada yang mengambilnya.
Probiotik amat penting terutama dalam usus manusia. Dengan kehadiran probiotik yang secukupnya didalam usus seseorang, maka ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh dengan meransang sel-sel immun menghasilkan lebih banyak antibodi. Ia juga membantu dalam proses inflamasi dan merembeskan bahan yang mengawal kitaran sel-sel dalam usus. Probiotik juga berperanan mengawal pembiakan bakteria jahat didalam usus.

Probiotik juga amat penting untuk kesihatan mental dan saraf. Kajian menunjukkan kaitan kuat diantara jenis probiotik dengan mood dan kesihatan mental seseorang.

Pesakit diabetes selalunya mengalami masalah gangguan probiotik dalam usus kerana paras gula yang tinggi akan menyebabkan probiotik tidak dapat berkembang dengan baik dan juga menyebabkan jangkitan kulat ‘candida’ yang akan mengganggu probiotik dalam usus. Oleh kerana itu selalunya pesakit diabetes mengalami masalah imuniti yang rendah.
Apabila seorang bayi itu lahir, tiada bakteria baik yang hidup didalam ususnya. Semasa proses kelahiran yang normal, sebahagian bakteria dalam saluran peranakan akan masuk kedalam usus bayi dan membiak didalamnya.

Oleh itu, bayi yang lahir secara normal adalah lebih beruntung kerana mendapat probiotik semulajadi dari ibunya. Dalam tempoh dua minggu bakteria baik ini akan meng’koloni’ usus bayi dan kekal keakhir hayat. Jika seseorang mengambil antibiotik, maka sebahagan dari bakteria baik ini akan turut sama mati, oleh itu ia perlu untuk diganti semula untuk mengekalkan keseimbangan bakteria didalam usus. Disinilah peranan probiotik yang mengekalkan keseimbangan bakteria didalam usus ini. Jika tidak bakteria jahat akan membiak dengan banyak dan mengakibatkan pelbagai masalah penghadaman dan lain-lain masalah kesihatan.

Menurut kajian, jumlah probiotik akan semakin kurang dan terganggu apabila kita bertambah usia, mengambil pil antibiotik, makan makanan proses dan gula yang berlebihan. Disebabkan faktor inilah maka akan berlaku ketidakseimbangan diantara ‘bakteria baik’ (probiotik) dan ‘bakteria jahat’(pathogen) di dalam usus yang akan menyebabkan ‘huru-hara’ dalam keseluruhan sistem metabolisma tubuh manusia.

Selain daripada susu kultur dan dadih, susu ibu dan makanan yang diperam seperti budu, belacan, cencalok, tempe juga mengandungi probiotik. Bagi ibu-ibu yang menyusukan anak, anda sebenarnya membekalkan makanan kepada probiotik dengan kandungan prebiotik yang tinggi dalam susu ibu.

Prebiotik pula adalah makanan kepada bakteria probiotik ini. Prebiotik banyak ditambah ke dalam produk susu tepung bayi dan kanak-kanak. Terdapat juga probiotik yang dijual sebagai suplemen dalam bentuk kapsul atau serbuk yang dibancuh.

Contoh prebiotik yang biasa adalah ‘arabic gum’ atau Al Manna yang sangat baik untuk kesihatan usus dan kesihatan secara umum. Serat juga adalah prebiotik yang utama yang boleh kita ambil dalam makanan kita setiap hari dengan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan berserat tinggi setiap hari.
Amalkan pengambilan probiotik dan prebiotik setiap hari untuk kesihatan yang lebih baik.

Artikel asal oleh:
Dr Norman Norawi
MBBS (Manipal), MSc(UCSI),
MNM (ACNEM), FAGE (MAHE)

Link: https://web.facebook.com/drnormanbuku/posts/1585329611570512?__tn__=K-R



Sila KLIK imej di bawah untuk mendengar mengenai Jus Delima Bio Emas


<< KEMBALI KE HALAMAN UTAMA